Ceroboh Lahad Datu: Permohonan semakan hukuman mati 7 warga Filipina esok

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan tujuh lelaki warga Filipina untuk menyemak hukuman mati yang dijatuhkan ke atas mereka kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas. - Gambar hiasan
Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan tujuh lelaki warga Filipina untuk menyemak hukuman mati yang dijatuhkan ke atas mereka kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan tujuh lelaki warga Filipina untuk menyemak hukuman mati yang dijatuhkan ke atas mereka kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.

Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 9 pagi, esok.

Permohonan itu dikemukakan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Mereka memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap kesemua lelaki itu selepas didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan kesemua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Januari 2018.

Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!