Kes bunuh pereka dalaman: Suspek lelaki dituduh esok

Polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 21 September lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.
Polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 21 September lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suspek kes bunuh seorang pereka dalaman yang ditikam 20 kali di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 15 September lepas akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, lelaki berusia 50 tahun itu yang juga penganggur akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Berdasarkan siasatan, kejadian pembunuhan berkenaan berpunca apabila mangsa telah menyedari suspek memecah masuk rumah beliau untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 16 September lepas, media melaporkan seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 3 pagi, 21 September lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!