Warga emas hilang di Melaka, ditemui selamat di Terengganu
MELAKA - Warga emas yang dilaporkan hilang sejak Isnin ditemui selamat di Chukai, Kemaman Terengganu pada Selasa.
Suriatuddin Maliki, 68, yang juga pesara kerajaan dijumpai dalam keadaan sihat berhampiran sebuah bank di kawasan berkenaan.
Anak perempuannya yang dikenali sebagai Farah berkata, dia telah dihubungi polis Chukai, Terengganu kira-kira jam 1 tengah hari yang memaklumkan bapanya telah ditemui.
"Alhamdulillah syukur ayah telah ditemui, kami sekeluarga dalam perjalanan ke sana untuk membawanya pulang.
"Terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat pencarian ayah kami yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Tambahnya, berdasarkan maklumat orang ramai dia sekeluarga juga berjaya mengesan bapanya ada membeli tiket bas ke Kemaman pada jam 8 malam tadi.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan individu itu dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumahnya di Bukit Katil di sini, sejak Isnin.
Farah berkata, bapanya dilihat keluar rumah sebelum Subuh dan sempat dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) jirannya pada jam 5.50 pagi.
Menurut Farah, kebiasaannya bapanya itu yang juga pesara kerajaan akan keluar rumah selepas solat Subuh untuk berjoging dan akan pulang semula 30 minit selepas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!