Fenomena air pasang besar: Guna teknologi canggih atasi ban pecah

Mohd Yahya (dua dari kiri) menandatangani sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Daerah Kuala Selangor di PAWE Tanjong Karang, pada Selasa.
Mohd Yahya (dua dari kiri) menandatangani sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Daerah Kuala Selangor di PAWE Tanjong Karang, pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan perlu menggunakan teknologi terkini serba canggih bagi menangani isu ban pecah berikutan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, kaedah teknologi lebih baik itu dapat mengurangkan impak air laut melepasi benteng penahan ombak yang mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah.

Menurut beliau, fenomena air pasang besar bukan hanya diatasi dengan memperkukuh benteng penahan ombak dan memasang cerucuk semata-mata, tetapi penggunaan aplikasi sistem amaran awal juga boleh digunakan sebagai persediaan menghadapi ombak kuat.

"Kaedah lebih canggih boleh digunakan bagi mengesan kelajuan angin dan ombak terutama jika berlaku fenomena air pasang besar.

"Dengan pemantauan ini, kita dapat memastikan ban yang telah kita baik pulih ini tidak rosak dan rebak teruk disebabkan fenomena ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Daerah Kuala Selangor di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjong Karang di sini, pada Selasa.

Mohd Yahya yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang memberitahu, kejadian ban pecah bukan perkara baharu, sebaliknya isu berpanjangan dan sering dibangkitkan dalam mesyuarat tindakan di daerah terlibat.

Katanya, sudah sampai masanya kerajaan perlu menggunakan teknologi baharu yang berbeza berbanding kaedah digunakan pada masa kini.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir kita kena ada satu rujukan dan panduan baru menghadapi fenomena air pasang besar.

"Mungkin kaedah sebelum ini kita hanya membuat persediaan dengan membina benteng, tetapi untuk masa depan kita juga memikirkan kaedah lain bagi menanganinya," jelas beliau.

Justeru, katanya, impak fenomena ini seharusnya dikaji bagi mengelakkan kesan lebih buruk pada masa depan.

"Misalnya fenomena air pasang besar di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang ini menyebabkan ramai mangsa terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat ban pecah baru-baru ini.

"Kalau tiada jalan penyelesaian secara menyeluruh, kita bimbang kejadian lebih serius akan terus berlaku," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!