Peniaga mi wantan didakwa perdaya rakan pelaburan produk minuman kurus
KUALA LUMPUR - Seorang peniaga mi wantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdayakan rakannya berhubung pelaburan produk minuman kurus berjumlah RM66,000, dua tahun lepas.
Leong Lai Peng, 44, didakwa memperdayakan pekerja kedai makan, Ang Hooi Yong, 38, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM66,000 kepada tertuduh di sebuah restoran di Kepong Baru, Sentul di sini antara 2 Julai 2022 dan 9 Jun 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun peguam V Annamalai yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan ia kesalahan kali pertama anak guamnya.
"Anak guam saya bekerja sebagai peniaga mi wantan di medan selera yang turut dibantu oleh suaminya. Oleh itu, saya mohon jaminan rendah kerana jaminan RM20,000 adalah terlalu tinggi," kata peguam itu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 November ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!