Mohon PBAPP hantar bekalan air lebih kerap

Penduduk memohon PBAPP menghantar bekalan air lebih kerap untuk kegunaan penduduk yang terjejas. Hos sambungan yang dibiarkan di dalam longkang. Gambar kecil: Khairul Ahmad
Penduduk memohon PBAPP menghantar bekalan air lebih kerap untuk kegunaan penduduk yang terjejas. Hos sambungan yang dibiarkan di dalam longkang. Gambar kecil: Khairul Ahmad
A
A
A

GEORGE TOWN - Penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS) yang terpaksa berhadapan dengan masalah tekanan air rendah sejak 19 September lalu meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menghantar bekalan air dengan lebih kerap ke kawasan mereka.

Masalah itu disebabkan tiga kebocoran pada paip utama bersaiz 1,200 milimeter di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, akibat daripada masalah itu, penduduk menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Menurutnya, lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang terpaksa tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana masalah bekalan air yang berlaku sejak lebih seminggu lalu.

"Masalah ini bukan semakin ringan malah makin teruk. Contohnya, ada beberapa lorong di Taman Widuri dan Taman Seruling Emas yang langsung tidak dapat air sejak beberapa hari lalu.

"Hal ini menyebabkan banyak urusan harian terganggu. Oleh demikian, kami penduduk yang terkesan memohon agar PBAPP menghantar lebih banyak tangki air untuk kegunaan penduduk," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambahnya, selain penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail juga ada memohon kepada PBAPP agar menambah kekerapan penghantaran tangki air ke kawasan yang terjejas teruk.

"Lorong belakang, kita faham mungkin kedudukan mereka paling hujung maka mereka akan dapat saki baki air, jadi air jadi perlahan. Yang jadi masalah sekarang, lorong di hadapan juga tiada bekalan air.

Artikel Berkaitan:

"Jadi penduduk minta ADUN memohon PBAPP supaya tambah kekerapan dan bilangan tangki statik di lorong-lorong yang terjejas. Daripada hari pertama beliau ada membuat permohonan itu namun kami tengok, sama saja.

"Kami ada minta jadual penghantaran bekalan air (lori tangki) namun sehingga kini, PBAPP belum memberi maklum balas. Memang mereka ada hantar tetapi tak cukup," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Ahmad berkata, penduduk juga memohon pekerja PBAPP yang menghantar bekalan air supaya menjaga kebersihan berikutan membiarkan hos sambungan diletakkan di merata-rata tempat.

"Seperti contoh, selepas menghantar bekalan air, hos sambungan antara lori tangki diletakkan ikut suka hati sahaja seperti di dalam longkang.

"Sudah lah ketika ini musim hujan, mungkin akan ada najis haiwan, serangga atau kotoran lain boleh masuk ke hos sambungan tersebut yang kemudiannya akan digunakan semula untuk memindahkan air dari lori ke tangki," katanya.

Semakan di Facebook PBAPP pada Selasa mendapati, kerja-kerja pemasangan paip 'crossing' sedang dilaksanakan.

Selain itu, kerja-kerja pengorekan untuk penyediaan ‘pit’ yang kedua bagi penyambungan akhir pada 4 Oktober nanti telah diteruskan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 13 kawasan di mukim berkenaan antara yang paling terkesan dengan masalah tersebut.

Kawasan yang paling teruk ialah Taman Seruling Emas, Flat Taman Seruling Emas, Jalan Permatang Ara, Jalan Sungai Duri, Taman Seruling, Wellesley, Kampung Permatang Ara, Taman Widuri, Perkampungan Sungai Bakap (sebahagian), Perkampungan Sungai Duri (sebahgian), Kampung Sungai Baong (sebahagian), Taman Sungai Duri Indah dan Taman Sungai Duri Perda.

Masalah kebocoran paip utama di Permatang Pauh itu memerlukan tempoh tertentu untuk membaikinya berikutan kebocoran paip itu pada kedalaman 12 hingga 15 meter, selain paip baru perlu ditempah dari ibu negara.

Masalah kebocoran itu telah menyebabkan kehilangan air sebanyak 20 hingga 24 juta liter mengakibatkan tekanan air rendah serta ketiadaan bekalan air di banyak kawasan di SPS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!