Akta kawalan produk merokok langkah tepat lindungi kesihatan anak-anak

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuasa pada Selasa adalah langkah tepat bagi melindungi kesihatan masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja daripada bahaya produk tembakau serta rokok elektronik.

Bagi peniaga, Rosamsidah Mohd Fadzir, 46, menyuarakan rasa lega dengan pelaksanaan akta yang sekian lama dinanti-nantikan oleh masyarakat.

"Sebagai ibu, saya bimbang dengan aktiviti penjualan vape yang tidak terkawal. Tapi sekarang sudah ada akta, dan kita harap akta ini didedahkan secara meluas.

"Bukan apa, akta ini sangat penting dalam melindungi kesihatan anak-anak kita,” katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan pada Selasa.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, walaupun akta ini adalah satu langkah positif, namun usaha memberi kesedaran dan pendidikan dalam kalangan semua pihak perlu diperhebatkan.

Ujarnya, ini bagi memastikan mereka lebih memahami peraturan baharu dan dapat mengamalkannya demi kesihatan awam.

Senada dengan itu, penjawat awam, Hafizi Rozaihan, 40, turut berharap kerajaan tidak mendengar desakan pemain industri terutamanya rokok elektronik.

Jelasnya, perkara yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan kerajaan adalah kesihatan masyarakat khususnya generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Perkara paling penting adalah tentang masa depan anak muda kita, jangan fikirkan sudut ekonomi semata-mata, sebab benda ini sudah jadi barah (dan) kritikal.

"Kalau kita lihat negara jiran dah perketatkan perkara ini, negara kita masih perlahan (dalam bertindak) sehingga menyebabkan lambakan rokok elektronik tanpa sekatan (kawalan) oleh majoritinya budak sekolah," katanya yang bersetuju jika aktiviti penjualan rokok elektronik diharamkan terus, selain memperketatkan penguatkuasaan.

Sementara itu, peniaga Badrul Faizudin Mat Isa, 30 berkata, pelaksanaan Akta 852 ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mengawal penjualan produk terbabit yang sebelum ini dijual secara terbuka tanpa larangan yang ketat.

"Lepas ini pencemaran kurang berpunca daripada asap rokok dan rokok elektronik," katanya.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu akan berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya, bermula hari ini.

Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan akta tersebut melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.

la termasuk peruntukan berkaitan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak- kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!