Peningkatan ringgit hantar mesej jelas kepada pelabur - Sivakumar

Pengukuhan kedudukan Ringgit Malaysia di pasaran global menghantar mesej jelas kepada pelabur antarabangsa bahawa ekonomi negara berada di landasan betul. Gambar hiasan
Pengukuhan kedudukan Ringgit Malaysia di pasaran global menghantar mesej jelas kepada pelabur antarabangsa bahawa ekonomi negara berada di landasan betul. Gambar hiasan
A
A
A

PENGUKUHAN kedudukan Ringgit Malaysia di pasaran global menghantar mesej jelas kepada pelabur antarabangsa bahawa ekonomi negara berada di landasan betul.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, menurut laporan Bloomberg, Ringgit Malaysia kini berada di puncak sebagai mata wang paling berprestasi tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh tiga bulan yang lalu.

Menurutnya, kejayaan tersebut hasil keberkesanan dasar-dasar ekonomi bijak dan proaktif yang telah dirangka dan dilaksanakan Kerajaan Madani.

"Lebih daripada sekadar angka, pencapaian ini melambangkan keyakinan dunia terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.

"Peningkatan nilai ringgit ini juga menghantar mesej yang jelas kepada pelabur antarabangsa bahawa negara kita berada di landasan yang betul, dengan dasar ekonomi yang pragmatik dan mampan untuk jangka panjang.

"la adalah petanda bahawa Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan lebih pesat pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sivakumar berkata, penghargaan kepada Kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pencapaian luar biasa dalam memperkukuhkan kedudukan ringgit di pasaran global.

Menurutnya, berdasarkan statistik, nilai ringgit mencatatkan peningkatan 14.35 peratus berbanding dolar AS dari 27 Jun hingga 27 September 2023, mengatasi prestasi komoditi emas yang hanya naik 14.2 peratus dalam tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, mengambil kira pandangan penganalisis kanan MUFG Bank, Lloyd Chan, pemulihan cemerlang ringgit itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh serta kitaran pelonggaran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pengukuhan nilai ringgit yang dilaporkan melonjak naik berturut-turut sejak kebelakangan ini memberi sinar baharu kepada kerajaan untuk terus meningkat dan menstabilkan taraf ekonomi negara.

Peningkatan nilai ringgit dilihat mampu menurunkan harga barang import yang akan membantu mengurangkan inflasi dan meningkatkan daya beli rakyat.

Sebelum ini media melaporkan, ringgit dilaporkan melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS dan muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!