Maritim Malaysia sokong pelan tindakan MYPCVE tangani fahaman pelampau keganasan

Maritim Malaysia sentiasa memantau perairan negara dalam usaha mengekang sebarang pencerobohan termasuklah elemen pelampau dan pengganas.
Maritim Malaysia sentiasa memantau perairan negara dalam usaha mengekang sebarang pencerobohan termasuklah elemen pelampau dan pengganas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa bersedia dalam mengawasi perairan negara daripada dicerobohi aktiviti pelampau dan pengganas.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkenalkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE).

Katanya, usaha ini dianggap penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan negara terus terpelihara.

"Walaupun peranan Maritim Malaysia hanya di perairan negara, namun agensi ini sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawabnya mengawasi perairan negara daripada dicerobohi oleh elemen-elemen yang boleh menimbulkan ancaman keselamatan termasuk aktiviti pelampau dan pengganas.

"Pelan MyPCVE ini sebagai satu langkah proaktif kerajaan dalam membendung sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan keganasan di dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelancaran MyPCVE yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rosli berkata, empat teras utama yang menjadi fokus MyPCVE iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Jelasnya, melalui empat teras utama ini, fahaman pelampau dan keganasan dilihat akan dapat dibendung daripada sebarang sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Pelan Tindakan MyPCVE yang akan diguna pakai pada 2024 hingga 2028 ini akan membantu Kerajaan Perpaduan dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara ini," ujarnya.

Pelancaran MyPCVE di Putrajaya pada Isnin bertujuan untuk melengkapi usaha tuntas membanteras aktiviti serta ideologi pelampau keganasan di dalam negara.

Pelan tindakan tersebut dibangunkan untuk menyelaras tindakan menangani ancaman fahaman pelampau keganasan bersandarkan kepada empat teras iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Ia menekankan isu ancaman fahaman pelampau keganasan secara holistik, merangkumi fahaman pelampau politik dan perkauman, sosial, agama dan elemen luar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!