Peralihan lesen Kelas B: JPJ naik taraf aplikasi MyJPJ

Aedy Fadly (tiga, kiri) memantau pendaftaran peserta dalam Program Khas Peralihan lesen kelas B2/B1 kepada kelas B di Akademi Memandu Shah Alam (AMSA) Bangi, pada Selasa. Foto Bernama
Aedy Fadly (tiga, kiri) memantau pendaftaran peserta dalam Program Khas Peralihan lesen kelas B2/B1 kepada kelas B di Akademi Memandu Shah Alam (AMSA) Bangi, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menaik taraf aplikasi MyJPJ susulan permintaan tinggi pengguna bagi pelaksanaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B bermula Selasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah ini dilaksanakan bagi memastikan capaian akses pada tahap maksimum untuk semakan syarat kelayakan bagi warga Malaysia yang layak membuat permohonan di mana-mana Institut Memandu (IM) terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata, pemegang LMM Kelas B2/B1 juga boleh membuat semakan syarat kelayakan bagi program khas ini melalui portal mySIKAP awam di laman sesawang https://public.jpj.gov.my atau di kaunter JPJ berdekatan.

"Jika layak, pemohon boleh hadir di mana-mana IM terpilih di seluruh negara untuk mengikuti program khas ini. Sebanyak 180 daripada 244 IM di seluruh negara bersetuju menawarkan program ini dan sistem kami ada sedikit masalah disebabkan trafik tinggi untuk masuk ke aplikasi bagi menyemak kelayakan.

"Saya harap orang awam bersabar dan ikut prosedur, semak dahulu dan tentukan IM. Semasa mendaftar di IM untuk mengikuti program khas ini, pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda,” katanya pada sidang media pelaksanaan Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di Akademi Memandu AMSA Bangi di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.

"Kadar harga siling kepada IM bagi program khas ini adalah RM160 merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian berdurasi dua jam, bayaran perkhidmatan termasuk sewaan kenderaan dan litar serta bayaran ujian JPJ.

"Program khas ini bertujuan menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di IM,” katanya menambah maklumat lanjut berhubung program khas ini boleh dilayari di laman web www.jpj.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan program khas peralihan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula Selasa.

Beliau berkata, syarat-syarat yang ditetapkan seperti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun itu bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.

Sementara itu, seorang peserta, Afifi Anuar tidak menyangka menjadi peserta pertama program berkenaan selepas hampir 20 tahun memegang lesen B2.

"Hari ini, saya menjalani latihan selama dua jam sebelum mengambil ujian. Alhamdulillah, saya hanya ambil ujian (litar) sekali dan berjaya lulus, amat gemuruh kerana setelah hampir 20 tahun saya ambil semula lesen motosikal.

"Saya ingatkan ujian melalui titi adalah sukar, namun ia mudah dan pengalaman menunggang motosikal dari rumah di Klang ke tempat kerja di Bangi banyak membantu saya membawa motosikal berkuasa tinggi ini sekali gus lulus ujian," katanya ketika ditemui selepas ujian litar bagi program khas itu pada Selasa.

Walaupun belum memiliki motosikal berkuasa tinggi, Afifi yang merupakan seorang penjawat awam mahu mengambil peluang menyertai program berkenaan memandangkan telah melepasi semua syarat ditetapkan.

"Sebelum ini, saya tiada masa dan peluang untuk mengambil lesen ini. Apabila layak (menyertai program berkenaan), saya terus mendaftar kerana bayaran untuk dapatkan lesen ini juga murah iaitu RM160," katanya yang berhasrat membeli motosikal berkuasa tinggi tahun depan.

Afifi berkata, program itu amat baik terutama kepada golongan berpendapatan rendah bagi memiliki LMM Kelas B. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!