UTP Indonesia muncul juara i-hesegc 2024

Kamaludin (tiga dari kiri) bergambar bersama peserta dari UTP Indonesia yang muncul juara keseluruhan i-hesegc 2024 di PSIS pada Isnin.
Kamaludin (tiga dari kiri) bergambar bersama peserta dari UTP Indonesia yang muncul juara keseluruhan i-hesegc 2024 di PSIS pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Universitas Tunas Pembangunan (UTP), Indonesia muncul juara keseluruhan bagi anugerah utama 'International Highest Early Strength Eco- Green Concrete Cube Competition (i-hesegc) 2024' di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) pada Isnin.

Kejayaan itu membolehkan universiti terbabit membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, plak dan sijil.

Tempat kedua menjadi milik 'tuan rumah' PSIS dan tempat ketiga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

PSIS dan UniMAP masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 dan RM1,000, plak serta sijil.

Bagi anugerah 'Sustainability Eco-Green' dan anugerah penyelia terbaik dianugerahkan kepada Politeknik Mukah.

Anugerah poster terbaik dan anugerah pembentangan terbaik pula dimenangi Politeknik Negeri Padang, Indonesia.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud berkata, program itu diadakan bertujuan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

"Program ini selaras dengan dasar TVET negara 2030, kerajaan telah memberi penekanan terhadap bidang ini bagi menyokong hasrat membangunkan bakat tersedia masa hadapan menepati keperluan industri dinamik dan secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Program ini adalah bukti komitmen kita untuk memastikan lepasan TVET dilengkapi dengan kemahiran relevan dan terkini dan inisiatif ini juga diharap meningkatkan kualiti di negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, i-hesegc juga adalah manifestasi komitmen JPPKK terhadap kemajuan dan inovasi dalam bidang teknologi bahan binaan, khususnya melalui penggunaan konkrit eco-green yang menawarkan potensi besar untuk pembinaan mampan.

Beliau berkata, bertemakan 'Eco-Green Concrete Creation: Pioneering Sustainable Solutions for Urban Challenges', peserta menghasilkan kiub konkrit dengan menggunakan bahan kitar semula dan direka khusus bagi meminimumkan kesan pencemaran alam sekitar.

"Kiub konkrit yang telah siap akan diuji oleh panel industri tahap kekuatan awal tertinggi selepas 24 jam dicampur.

"Program ini telah menonjolkan usaha berterusan peserta yang telah bekerja keras dalam mencipta kiub konkrit sambil mengutamakan kelestarian alam sekitar," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata, buat julung kalinya pertandingan konkrit itu mendapat sambutan daripada penuntut luar negara sekali gus dapat mendukung tanggungjawab semua bagi memelihara alam sekitar.

Jelas beliau, setiap inovasi yang dihasilkan itu merupakan langkah ke arah masa depan yang lebih hijau.

"Seramai 89 peserta telah menunjukkan sokongan dan komitmen sepanjang pertandingan ini berlangsung," kata beliau.

Peserta pertandingan itu terdiri daripada penuntut Politeknik Malaysia, Kolej Vokasional dan universiti awam tempatan serta wakil peserta antarabangsa daripada Indonesia iaitu Politeknik Negeri Padang, UTP dan Nusa Putra University.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!