Keluarga mahu keadilan atas kematian Sabari
SUNGAI PETANI - Anak sulung kepada mangsa bunuh, Sabari Baharom, 62, mahukan keadilan buat bapanya yang dipercayai dibunuh sebelum dicampak ke dalam sungai.
Suraiya Izzaty, 29, berkata, mereka sekeluarga mahukan keadilan buat bapa memandangkan tindakan suspek dianggap kejam dan keterlaluan.
"Kita mahukan keadilan atas apa yang dia (suspek) dah buat ke atas ayah sebab ayah saya kenal dia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, Suraiya menjelaskan tidak pernah bertemu dengan suspek namun mengetahui bahawa ayahnya melayan lelaki itu dengan baik selama ini.
"Ayah memang tak suka cakap buruk pasal orang, saya hanya tahu suspek selalu datang rumah ayah untuk guna bekalan air dan elektrik bagi tujuan pembinaan rumah jiran.
"Saya tak tahu apa motif suspek sehingga dia sanggup bertindak kejam sebegitu. Ayah juga tak pernah beritahu dia ada masalah dengan suspek atau apa-apa perkara yang mencurigakan sebelum ini," katanya.
Menurutnya, suspek yang juga seorang pekerja kontrak ditahan selepas laporan polis dibuat penduduk kampung setelah menyedari kehilangan lelaki itu menyebabkan rumah yang sedang dalam pembinaan, terbengkalai.
"Selepas ayah hilang, suspek juga turut menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga dia ditangkap bersama seorang lagi lelaki baru-baru ini," katanya.
Suraiya memaklumkan, penduduk kampung ada memberitahu bahawa polis telah membawa suspek ke rumah ayahnya bagi tujuan melakonkan semula kejadian.
"Saya difahamkan pada hari kejadian, ayah telah pulang ke rumah selepas keluar berjumpa kawannya dan suspek mengambil ayah di rumah sebelum ayah dibawa lari ke Jitra," katanya.
Katanya, walaupun masih dalam keadaan terkejut namun dia berasa lega kerana misteri kehilangan ayahnya berjaya dirungkai.
"Saya berharap jasad ayah dapat dijumpai secepat mungkin dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam usaha pencarian ayah selama ini," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kenyataan polis bahawa Sabari yang merupakan bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu, dibunuh dan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jitra.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pengakuan suspek juga memaklumkan bahawa tangan mangsa telah diikat, manakala mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat sebelum dicampak ke sungai.
Jelas Fisol, jasad mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dengan usaha mencari sedang giat dijalankan.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja.
Kehilangan warga emas itu menjadi misteri apabila anaknya menyedari terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari kepada akaun individu tidak dikenali.
Beberapa hari selepas kehilangan bapa kepada tiga anak itu, sebuah kereta dipercayai milik mangsa ditemui hangus terbakar dalam gaung di Pulau Belantek, Sik, Kedah.
Pada Selasa, operasi pencarian jasad mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan radius diperluaskan kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi mangsa dibuang.
Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!