Wang simpanan lebih RM200,000 lesap tertipu pelaburan tidak wujud

Wang simpanan lebih RM200,000 lesap sekelip mata akibat tertipu dengan pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
Wang simpanan lebih RM200,000 lesap sekelip mata akibat tertipu dengan pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

MUAR - Seorang lelaki tidak lena tidur selepas wang simpanannya lebih RM200,000 lesap sekelip mata akibat tertipu dengan pelaburan yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisoner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang berusia 29 tahun itu berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan ditawarkan peluang pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang saham, termasuk pulangan komisen yang lumayan antara 10 peratus hingga 100 peratus.

Katanya, mangsa kemudian diminta untuk memuat turun satu aplikasi yang memaparkan pelabur-pelabur yang telah mendapat keuntungan setelah membuat pelaburan berkenaan.

"Oleh kerana percaya dengan paparan yang dilihat, mangsa telah membuat pelaburan dan menerima keuntungan dalam masa tiga hari atas modal telah dilaburkannya.

“Mangsa kemudiannya telah melakukan 28 transaksi mulai 1 Ogos hingga 19 September lalu melalui empat akaun berbeza berjumlah RM242,223.

“Sehingga kini, mangsa masih gagal untuk mengeluarkan sebarang keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya diminta untuk membuat pembayaran lagi. Namun mangsa enggan berbuat demikian kerana berasa telah ditipu,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!