Mangsa banjir di Perak meningkat
IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat sedikit kepada 16 orang setakat jam 4 petang berbanding sembilan orang di sebelah pagi pada Selasa.
Kesemua mangsa melibatkan lima keluarga di daerah Kampar masing-masing dipindahkan dari Kampung Batu 20 dan Kampung Baru, Kuala Dipang serta Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan yang dibuka pada jam 11 malam pada Isnin.
Data aras air sungai dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang berada pada tahap 21.83 meter, melebihi bacaan normal 21.41 meter.
Sementara itu, paras air Sungai Perak di Kuala Kenderong, daerah Hulu Perak yang sebelum ini berada pada tahap bahaya telah menurun kepada 110.40 meter berbanding setinggi 113.79 meter pada sebelah pagi.
Maklumat daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tiada amaran hujan berterusan dikeluarkan setakat ini, namun daerah Kampar diramal mengalami cuaca hujan pada sebelah petang sehingga malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!