Skor kredit tinggi mampu lulus pinjaman lima kali ganda - CTOS

Pengguna dengan skor CTOS 'lemah' hanya ada 10 peratus peluang permohonan kelulusan kad kredit manakala golongan cemerlang sebanyak 76 peratus - CTOS.
Pengguna dengan skor CTOS 'lemah' hanya ada 10 peratus peluang permohonan kelulusan kad kredit manakala golongan cemerlang sebanyak 76 peratus - CTOS.
A
A
A

PENGGUNA MyCTOS Score dengan kredit tinggi mampu memperoleh kadar kelulusan pinjaman sebanyak lima kali ganda berbanding golongan yang memiliki skor rendah.

Perkara itu didedahkan agensi pelaporan kredit terkemuka negara, CTOS Data System Sdn Bhd menerusi kajian melibatkan 250,000 pengguna yang ingin memohon pinjaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Eric Hamburger berkata, tidak dinafikan akses kepada kredit ketika ini adalah satu keperluan praktikal dan bukan sekadar untuk membeli barang atau meningkatkan taraf hidup.

Menurut beliau, perbezaan paling ketara antara pengguna skor kredit tertinggi dan terendah dapat dilihat menerusi permohonan kad kredit.

“Pengguna dengan skor CTOS 'lemah' hanya ada 10 peratus peluang permohonan kelulusan kad kredit manakala golongan cemerlang sebanyak 76 peratus.

“Skor kredit yang lebih baik bersamaan dengan kadar kelulusan tinggi, namun ini kali pertama kami dapat menjelaskannya dengan data sebenar.

“Ia bukan sahaja meningkatkan peluang kelulusan, tetapi juga memberikan akses kepada faedah dan ganjaran lebih tinggi, menjadikan kos meminjam rendah untuk jangka pendek atau panjang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Laporan MyCTOS Score mengandungi maklumat kritikal yang membolehkan institusi kewangan menilai kelayakan kredit seseorang termasuk skor CTOS, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), litigasi dan kebankrapan, kepentingan perniagaan atau pengarah berdasarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia termasuk senarai rujukan perdagangan (eTR) yang memperincikan pengalaman pembayaran terkini atau sebelumnya kepada institusi bukan kewangan seperti pelanggan CTOS.

Eric turut memaklumkan, bagi permohonan kredit bercagar seperti kereta dan rumah, kadar kelulusan berbeza walaupun pemberi pinjaman mempunyai aset untuk dicagarkan.

Bagaimanapun, tambah beliau, pengguna dengan skor CTOS terbaik mempunyai kadar kelulusan sebanyak 74 peratus dari segi pembiayaan kereta manakala 61 peratus untuk pinjaman perumahan.

“Di hujung skala tersebut, mereka dengan skor CTOS terendah hanya mempunyai sembilan peratus peluang untuk mendapatkan pinjaman kereta dan 22 peratus bagi pinjaman perumahan.

“Dengan meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dan skor kredit, pengguna lebih mudah membuat keputusan menerusi pilihan kredit yang banyak,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!