Dua PPS ditutup di Kedah, mangsa banjir di Perak sedikit meningkat

Tiga daerah di Kedah masih terjejas banjir dan jumlah mangsa setakat 4 petang Selasa turun kepada 1,148 orang daripada 373 keluarga. Foto Bernama
Tiga daerah di Kedah masih terjejas banjir dan jumlah mangsa setakat 4 petang Selasa turun kepada 1,148 orang daripada 373 keluarga. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Kedah beransur pulih dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kubang Pasu ditutup petang ini, manakala di Perak jumlah mangsa banjir sedikit meningkat dengan hujan masih berlaku di beberapa kawasan.

Di Kedah, tiga daerah masih terjejas banjir dan jumlah mangsa setakat 4 petang tadi menurun kepada 1,148 orang daripada 373 keluarga berbanding 1,373 orang daripada 457 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pokok Sena masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 466 orang daripada 148 keluarga masih berlindung di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, SK Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Kota Setar pula menyaksikan seramai 419 orang daripada 130 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.

Di Baling pula, satu lagi PPS dibuka petang ini menjadikan keseluruhan lima PPS dibuka di daerah itu iaitu di SK Tanjung Pari, SK Siong, SK Malau, SK Seri Bayu dan Dewan Orang Ramai Banggol Derom, menempatkan 263 orang daripada 95 keluarga.

Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar, telah melepasi paras bahaya.

Di Perak pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu sedikit meningkat kepada 16 orang daripada lima keluarga berbanding sembilan mangsa daripada empat keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa dari Kampung Batu 20 dan Kampung Baru, Kuala Dipang serta Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar itu masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan dalam daerah Kampar.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan akan berlaku di semua daerah di Perak malam ini kecuali di Bagan Datuk dan Muallim. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!