PM lawat Loji Rawatan Air Chicha 2

Anwar (tengah) tiba untuk lawatan di tapak projek pembinaan Loji Rawatan Air Chicha 2.
Anwar (tengah) tiba untuk lawatan di tapak projek pembinaan Loji Rawatan Air Chicha 2.
A
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa melakukan lawatan di tapak projek pembinaan Loji Rawatan Air Chicha 2.

Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba kira-kira jam 5.05 petang untuk melihat perkembangan projek yang mampu meningkatkan kapasiti bekalan air di kawasan Pasir Hor dan Kota Seribong dekat sini.

Dalam kepadatan jadual lawatan itu, Anwar turut mendengar taklimat Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Ir Zulkiflee Omar.

Sementara itu, Zukkiflee ketika ditemui pemberita memberitahu, PAAB kini sedang menyelia pelaksanaan projek bernilai lebih RM273 juta.

Katanya, projek yang masih dalam peringkat pembinaan ialah loji rawatan air Chicha fasa 2 dengan kos RM54.9 juta yang dijangka siap pada Januari 2026.

Beliau memberitahu, projek di Chicha 2 itu juga mempunyai 11 telaga tiub yang baharu dengan jumlah bekalan air mentah sebanyak 21 juta liter sehari (JLH), loji rawatan air berkapasiti 20 JLH serta tangki air berkapasiti 3.5 juta liter.

"Turut dibina melalui projek yang dijangka siap pada Januari 2026 ialah stesen pam air terawat dan binaan yang menempatkan sistem penyediaan dan dos bahan kimia.

"Selain itu terdapat juga kerja-kerja pemasangan paip saluran utama air mentah dan saluran utama air terawat dan kerja-kerja infrastruktur termasuk pembinaan jalan, saliran, retikulasi pembetungan dan rawatan kumbahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Loji Rawatan Air Chicha 2.
Loji Rawatan Air Chicha 2.

Tambah beliau, projek lain ialah loji rawatan air Bukit Chupak dengan kapasiti 10 juta liter sehari dengan kos RM47 juta dan dijangka siap September 2025.

"Kita juga sedang membina sembilan buah telaga air di Tanjung Mas untuk membekalkan air mentah kepada loji sedia ada di kawasan itu.

"Selain itu kami dalam proses mengganti paip lama atau uzur di Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah Dan Kuala Krai sepanjang 104km dan dijangka siap Januari 2025," katanya.

Jelas beliau projek berkenaan dibahagikan kepada enam bahagian tetapi tiga daripadanya sudah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd.

"Tiga lagi kawasan dijangka siap Februari tahun depan dan setakat ini kita sudah siapkan beberapa projek berjumlah RM80 juta di Kelantan," katanya.

Dalam pada itu, Zulkiflee memberitahu, satu projek loji rawatan air baharu akan dilaksana di Tok Bali yang berkapasiti 50 juta liter sehari dan proses tender akan ditawarkan tahun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!