Solat hajat buat rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman

Inisiatif berterusan Jawi mendoakan kesejahteraan negara Islam yang diuji dengan peperangan.
Inisiatif berterusan Jawi mendoakan kesejahteraan negara Islam yang diuji dengan peperangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan disyorkan mengadakan solat hajat mendoakan kesejahteraan rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman yang diuji dengan peperangan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program itu disarankan diadakan bermula pada malam ini selepas solat Isyak sehingga Jumaat.

Menurutnya, inisiatif itu bagi menzahirkan keprihatinan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mendoakan serangan rejim Israel terhadap negara Islam itu dihentikan.

"Berdasarkan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berikutan tragedi serangan berterusan yang dilancarkan oleh rejim Israel, Jawi menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan melaksanakan solat hajat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat semua mangsa.

"Kami merakamkan ucapan takziah dan turut bersimpati terhadap mangsa serta seluruh ahli keluarga yang terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama katanya, Jawi mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan itu kerana hanya mencetuskan lebih banyak kemusnahan harta benda dan mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.

Katanya, doa dan munajat yang dikirimkan adalah salah satu inisiatif berterusan berharap serangan dan peperangan yang membawa kehancuran itu segera dihentikan.

Selepas siri serangan ke atas Gaza, Palestin sejak 7 Oktober lalu, rejim Zionis melancarkan serangan udara kepada Lubnan sejak awal pagi Isnin.

Artikel Berkaitan:

Serangan pertama Israel ke atas Lubnan dilaporkan pada jam 6.30 pagi waktu tempatan melanda kawasan tidak berpenghuni berhampiran Byblos utara Beirut.

Pemetaan satelit yang diteliti al-Jazeera menunjukkan serangan berlaku di seluruh Lubnan dan sasaran paling banyak adalah sekitar Lembah Bekaa yang dianggap kubu kuat Hizbullah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!