Ibu sebak umum pengantin perempuan batal perkahwinan
SHAH ALAM - Tular di media sosial apabila seorang ibu sebak mengumumkan majlis perkahwinan anak lelakinya tidak akan berlangsung kerana calon isteri menarik diri pada saat akhir.
Susulan daripada itu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa keluarganya mengambil keputusan untuk meneruskan 'hari bahagia' itu dengan mengadakan majlis bacaan doa selamat.
"Dengan berat hati saya dan keluarga ingin memberitahu, di atas sebab-sebab tertentu... pengantin perempuan telah membatalkan majlis perkahwinan ini pada saat akhir.
"Disebabkan berlakunya pembatalan saat akhir, saya tidak dapat membuat pemakluman pembatalan tersebut kepada setiap jemputan kerana ketika itu saya tidak mempunyai kekuatan dan saya juga tidak mampu untuk bersoal jawab dengan setiap soalan yang akan ditanya.
"Jadi, saya ambil keputusan untuk teruskan majlis bukan kerana persiapan sudah siap tetapi saya perlu memberitahu sendiri (situasi sebenar) di dalam majlis ini. Dengan pembatalan daripada pengantin perempuan, saya dan keluarga mengadakan majlis bacaan doa selamat yang dipimpin ustaz dan anak-anak tahfiz," katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Selasa.
Dalam pada itu, pengantin lelaki yang dikenali sebagai Adam berkata, walaupun sudah cuba mempertahankan hubungan tersebut namun dia masih gagal dan reda dengan ketentuan ditetapkan ALLAH SWT.
Ujarnya, hantaran itu hanya sekadar perkongsian tentang perjalanan hidup kerana bagi dia di dalam dunia ini masih ada ujian yang lebih mencabar.
"Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada ALLAH SWT kerana DIA yang benarkan kita untuk berada di sini walaupun perancangan asalnya tidaklah seperti yang kita rancang, namun apa yang jadi ada hikmahnya.
"Terima kasih kerana sudi meluang masa, datang dan berkumpul. Janganlah (disebabkan) kesedihan kami ini, menjadi sesuatu perkara yang menghalang anda untuk bergembira hari ini. Maafkan kami kalau ada salah silap dan info, kami tak dapat elak apa yang jadi... ini semua takdir ALLAH.
"Pada saya, perkara ini terjadi ada hikmah dan pengajaran untuk kedua-dua belah pihak. Semoga dikembalikan semua doa yang baik ini kepada anda semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!