Steinbruckner lepaskan jawatan ketua jurulatih TFC

Tomislav Steinbruckner
Tomislav Steinbruckner
A
A
A

GERGASI Liga Super, Terengganu FC (TFC) mengesahkan pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner tidak lagi bersama kelab Pantai Timur berkenaan.

Menurut TFC, keputusan itu diambil hasil persetujuan secara bersama pihak kelab dengan pengendali berusia 58 tahun dari Croatia berkenaan.

“Kelab Terengganu FC telah mengadakan perbincangan bersama Tomislav Steinbruckner dan mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan jawatan dia sebagai pengendali Terengganu FC musim ini.

“Turut sama mengikuti bersama proses ini adalah dua staf di barisan kejurulatihan iaitu penolong jurulatih, Ivica Vranjes dan jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic.

“Langkah ini diambil dan diputuskan bersama atas dasar melihatkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab memelihara keadaan serta perhubungan antara pemain-pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya,” kata Terengganu FC dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tugas ketua jurulatih berkenaan akan digalas penolong pengendali, Badrul Afzan Razali dan Hairudin Omar.

Sementara itu, Tomislav berharap Terengganu mampu terus bergerak dengan baik dan lebih berjaya pada masa hadapan.

Terengganu kini berada di kedudukan ketiga liga dengan 16 mata selepas mengharungi 10 perlawanan hasil - empat menang, empat seri dan dua tewas - 14 jaring gol, 11 bolos.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!