Keyakinan Najib RM2 bilion adalah derma dari Arab Saudi munasabah - Peguam
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa RM2 bilion merupakan derma dari Arab Saudi adalah munasabah kerana Ambank, yang mengendali urus niaga itu, telah memprosesnya atas pemahaman ia adalah derma yang sah.
Peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib, berhujah bahawa AmBank, sebagai antara institusi kewangan utama memiliki jabatan pematuhan khusus bagi memproses dana itu berdasarkan surat yang menyokong dakwaan wang ia adalah daripada kerabat Arab Saudi yang diberikan sebagai derma.
"Pembelaan berhujah situasi ini memberikan kredibiliti kepada keyakinan Najib bahawa dana itu adalah pemberian yang sah dan bukan hasil daripada aktiviti haram.
"Perlu ditegaskan bahawa RM2 bilion bukanlah jumlah kecil yang tidak disedari atau tidak dapat dikesan, ia tertakluk kepada penelitian bukan hanya di bawah jabatan pematuhan di Ambank tetapi juga di pihak jabatan pematuhan penghantar, dalam kes ini Tanore Finance Corporation," kata beliau ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini selepas pendakwaan menutup kesnya.
Tanore ialah sebuah syarikat yang dikuasai Eric Tan Kim Loong, yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.
Isu yang dibangkitkan pada prosiding hari ini merujuk kepada wang sebanyak AS$620 juta (RM2.27 bilion) yang menjadi inti pati empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Najib.
Scivetti juga berhujah wang RM2 bilion itu juga telah dimaklumkan kepada Bank Negara Malaysia yang akan membekukan akaun terbabit jika terdapat sebarang kecurigaan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Bagaimanapun, tiada sebarang amaran diberikan dalam hal ini. Ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib mempunyai jangkaan yang sah bahawa wang yang beliau terima daripada Tanore adalah derma tulen dari Arab Saudi dan tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti haram.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamik Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang dan di bank yang sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!