Treler terbabas, tangki minyak sawit tergolek masuk sungai

Tangki minyak sawit yang terjatuh ke dalam anak Sungai Lubok Gayong pada Selasa. Foto PDRM
Tangki minyak sawit yang terjatuh ke dalam anak Sungai Lubok Gayong pada Selasa. Foto PDRM
A
A
A

LIPIS - Sebuah treler terbabas menyebabkan tangki minyak sawit yang membawa muatan minyak sawit seberat 42 tan terjatuh ke dalam anak Sungai Lubok Gayong di Kilometer (KM) 2 Jalan Benta-Jerantut di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu treler jenis Nissan UD, Muhamad Ruzaini Abdul Manaf, 36, cedera pada bahagian belakang badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu mangsa bergerak dari kilang sawit di Felcra Jaya Putra, Kampung Damak, Jerantut menuju ke Semenyih.

Keadaan treler yang terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik. Foto PDRM
Keadaan treler yang terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik. Foto PDRM

"Apabila sampai di tempat kejadian, treler yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.

"Kejadian menyebabkan tangki treler tergolek masuk ke dalam anak sungai terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, kejadian menyebabkan pemandu cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Benta untuk rawatan lanjut.

Tiang elektrik yang dilanggar oleh treler terbabit di tempat kejadian. Foto Ihsan PDRM
Tiang elektrik yang dilanggar oleh treler terbabit di tempat kejadian. Foto Ihsan PDRM

Artikel Berkaitan:

"Kita juga memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999 atau mana-mana balai polis berhampiran," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dimaklumkan dan melawat tempat kejadian.

Jelasnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Kaedah 10LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!