Young Tigress asah taring di Piala Tun Abdul Razak
KEJOHANAN hoki Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula Rabu hingga 12 Oktober ini bakal menjadi pentas terbaik buat skuad remaja wanita negara, Young Tigress mengasah taring sebelum ke Oman akhir tahun ini.
Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu akan menggalas cabaran negara dalam kempen Piala Remaja Asia di Muscat bermula 11 hingga 19 November depan dalam misi memburu tiket ke Piala Remaja Dunia tahun depan.
Beliau melihat kejohanan tersebut sebagai platform terbaik buat muka baharu itu untuk beraksi menentang pemain senior dari negeri.
“Ini persiapan terbaik buat mereka untuk ke kejohanan di peringkat Asia. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran cuma mahu mereka beri yang terbaik mengikut formasi dan strategi yang kita rancang.
“Pamerkan semangat juang tinggi. Kejohanan ini juga menjadi pentas buat saya untuk menilai kecergasan dan kemahiran individu. Selepas kejohanan ini saya akan nilai kelemahan dan prestasi mereka sebelum ke Oman,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh mengumumkan penarikan diri juara bertahan, Sabah disebabkan kekangan kewangan dan kekosongan itu akan diisi oleh skuad Young Tigress.
“Sabah kurang peruntukan dan mampu untuk hantar satu pasukan sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil yang turut dihadiri pengarah kejohanan, Norakma Hashim.
Sebanyak 25 pasukan mengambil bahagian pada edisi kali ini melibatkan 14 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh mengumumkan penarikan diri juara bertahan, Sabah disebabkan kekangan kewangan dan kekosongan itu akan diisi oleh skuad Young Tigress.
KATEGORI LELAKI
KUMPULAN A
Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Perlis dan Singapura
KUMPULAN B
Melaka, Perak, PDRM, ATM, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah.
KATEGORI WANITA
KUMPULAN A
Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Johor
KUMPULAN B
Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Terengganu, ATM dan Young Tigress
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!