Tabiat berhutang gelapkan masa depan anak muda

Pinjaman peribadi menjadi penyebab utama golongan muda atau belia terperangkap dalam kebankrapan.
Pinjaman peribadi menjadi penyebab utama golongan muda atau belia terperangkap dalam kebankrapan.
A
A
A

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Selasa mendedahkan laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyatakan 53,000 individu di bawah 30 tahun dibebani hutang yang tinggi mencakupi nilai keseluruhan hampir RM1.9 bilion.

Pendedahan itu bukanlah mengejutkan kerana berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) baru-baru ini, julat umur lingkungan 25 hingga 44 tahun merupakan kumpulan yang menopoli jumlah kebankrapan bagi tahun 2020 hingga Mac 2024.

Melalui statistik yang direkodkan itu, pinjaman peribadi menjadi penyebab utama golongan muda atau belia terperangkap dalam kebankrapan. Diikuti pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.

Jika diteliti dengan julat umur berkenaan, sudah pastinya ia berkait rapat dengan gaya hidup orang muda pada hari ini yang lebih mementingkan kemewahan berbanding kesan besar dihadapi kemudian hari.

Tambahan pula perancangan kewangan yang lemah menjadikan kumpulan umur ini kurang menitik beratkan risiko berhutang.

Bahkan, Amir Hamzah sendiri menjelaskan bahawa kebolehcapaian yang semakin meningkat bagi pinjaman peribadi, kad kredit dan terutamanya skim ‘beli dahulu, bayar kemudian’ amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Ini memberi gambaran bahawa kumpulan umur ini kekurangan pemahaman mengenai implikasinya dan kekurangan disiplin dalam menguruskan komitmen boleh membawa kepada hutang yang tidak terurus dengan cepat.

Apa yang penting bagi mereka adalah kemewahan yang dipamerkan seperti kata pujangga ‘biar papa asal bergaya’.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengatasi masalah ini terus meruncing atau menggelapkan masa depan golongan muda, pihak bank setidak-tidaknya perlu mengetatkan polisi pinjaman atau menawarkan kemudahan had maksimum faedah pinjaman.

Paling penting, bakal penghutang daripada golongan muda perlu mempunyai kesedaran yang tinggi atau diberikan pendidikan awal sebelum melakukan sebarang pinjaman atau menggunakan kad kredit, medium popular golongan ini memperoleh wang dengan cara mudah.

Jika dilentur dari rebung, pastinya pada tahun mendatang, angka 53,000 individu di bawah 30 tahun yang dibebani hutang dapat dikurangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!