Pangkalan tentera Israel berjaya diserang - Hizbullah
SEORANG pegawai kanan Hizbullah memberitahu Al Jazeera, serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran disifatkan sebagai berjaya dan beberapa pangkalan tentera Israel telah diserang seperti yang dirancang.
Pegawai yang enggan namanya disiarkan berkata, kadar pemintasan oleh sistem pertahanan peluru berpandu Israel adalah 'lemah' serta menegaskan, terdapat sejumlah tentera Israel yang terkorban dalam serangan itu.
Angkatan Pertahanan Israel sering menapis maklumat berhubung sebarang kerosakan yang berlaku pada fasiliti mereka.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan, tiga pangkalan tentera Tel Aviv menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik Iran itu.
Serangan itu, disertai dengan serangan siber berskala besar, juga menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Fatah baharu Iran buat kali pertama, menurut media negara Iran.
Pada Selasa, Iran dilaporkan melancarkan 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan zionis terhadap sekutunya, Hizbullah di Lubnan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!