Terima kasih PM - MB Kelantan
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beberapa pengumuman dibuat semasa lawatan kerja ke negeri ini sempena pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan Kelantan komited untuk terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.
"Kita sentiasa terbuka kepada kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri ini tanpa mengira perbezaan politik selagi ia selaras dengan prinsip 'Membangun Bersama Islam' yang menjadi dasar pentadbiran negeri.
"Kerajaan Kelantan menyambut baik beberapa pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri menerusi kunjungan tadi (Selasa) antaranya komitmen meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir, bekalan air bersih dan masalah bekalan air kepada pesawah, kos projek Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim (RM8 juta) dan menambah baik Pasar Besar Siti Khadijah (RM5.5 juta)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
Ujarnya, ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5.5 juta untuk kerja-kerja baik pulih Pasar Besar Siti Khadijah.
Menurut beliau, terdahulu kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.5 juta bagi tahun 2023 dan 2024.
Selain itu, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos membina dan menyiapkan sebuah Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.
Ahli Parlimen Tambun itu turut memberi jaminan masalah yang sedang dialami oleh pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan segera selesai apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju memberi kelulusan bersyarat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!