Duit pencen, simpanan RM218,900 lesap ditipu

Mangsa diarah memasukkan wang berjumlah RM5,000 dan diminta memindahkan wang dari akaun Tabung Haji milik pengadu sebanyak RM201,900.00 ke dalam akaun bank yang baru dibuka tersebut. Gambar hiasan
Mangsa diarah memasukkan wang berjumlah RM5,000 dan diminta memindahkan wang dari akaun Tabung Haji milik pengadu sebanyak RM201,900.00 ke dalam akaun bank yang baru dibuka tersebut. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Wang pencen dan simpanan milik seorang pesara guru wanita berjumlah RM218,900 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon pada 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 65 tahun itu dihubungi seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan sebuah pusat perubatan memaklumkan mangsa mempunyai tuntutan insuran sebanyak RM68,800.

Beliau berkata, mangsa yang menafikan mempunyai tuntutan itu kemudiannya diarahkan membuka satu akaun bank bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia pada 24 September lepas.

"Seterusnya mangsa diarahkan memasukkan wang berjumlah RM5,000 dan diminta memindahkan wang dari akaun Tabung Haji milik pengadu sebanyak RM201,900.00 ke dalam akaun bank yang dibuka tersebut.

"Mangsa menyedari ditipu selepas menceritakan situasi tersebut kepada anaknya. Setelah itu, mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati baki dalam akaun bank milik mangsa hanya tinggal RM100.

"Wang mangsa berjumlah RM218,900 telah dipindah keluar sebanyak 20 kali transaksi dari akaun miliknya ke akaun bank lain yang tidak dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada Selasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!