216 topi keledar Arai tiruan disita
NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 216 topi keledar tiruan yang menggunakan jenama ‘Arai’ bernilai RM54,000 di sebuah premis di Sungai Bakap di sini pada Selasa.
Pengarahnya, S Jegan berkata, rampasan itu dibuat dalam operasi bersama wakil pemilik hak cipta selepas menerima aduan berhubung perkara itu.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, premis itu didapati menjalankan perniagaan sebagai pemborong topi keledar dan aksesori motosikal.
"Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis tersebut, kita berjaya menemui sejumlah topi keledar dalam milikan yang disyaki adalah salinan langgaran karya seni.
"(Sebanyak) 216 unit topi keledar jenama MHR yang mengandungi tanda karya seni Arai disita dengan anggaran bernilai RM54,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Jegan, kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987.
"KPDN Pulau Pinang memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi undang-undang.
"Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Jelasnya lagi, jika sebarang kesalahan yang berikutnya, boleh didenda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Masyarakat atau pengguna diminta supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya.
"Orang ramai boleh menyalurkan aduan dan maklumat kepada kami melalui pelbagai saluran antaranya WhatsApp di talian 019-848 8000 atau Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!