Pemandu e-hailing maut, MPV terbabas selepas terkena serangan jantung
MELAKA - Seorang pemandu e-hailing maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas akibat dipercayai terkena serangan jantung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Balai Panjang, Malim di sini awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa, Azmira Othman, 49, dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lorong Pandan menuju ke Malim.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas.
"Setiba di tempat kejadian mangsa dipercayai terkena serangan jantung sebelum terbabas ke arah batu pembahagi jalan di lorong sebelah kanan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Jesteru, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!