'Arsenal jauh lebih baik daripada PSG'
PENGENDALI kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint- Germain (PSG), Luis Enrique mengakui secara jujur tidak mengetahui berapa tempoh masa yang diperlukan Les Parisiens untuk kembali digeruni dan dihormati selepas tumbang kepada Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara.
Juara Perancis itu tewas 0-2 di Stadium Emirates menerusi gol yang dijanakan Kai Havertz (m-20) sebelum sepakan percuma Bukayo Saka (m-35) mematikan hala tuju anak buah Enrique yang musim ini kehilangan Kylian Mbappe kepada Real Madrid.
"Hari ini kami jauh daripada standard yang diperlukan dalam perlawanan sebegini. Arsenal jauh lebih baik dari segi tekanan dan intensiti, mereka memenangi setiap pertarungan.
"Adalah mustahil untuk bermain meraih keputusan positif apabila anda tidak memenangi sebarang pertarungan di padang, pertahanan mereka menjangkakan penyerang kami dan pertahanan kami tidak menjangkakan penyerang mereka. Sesungguhnya, Arsenal lebih hebat," kata Enrique.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu mengetuai PSG ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu apabila menewaskan kelab lamanya Barcelona pada suku akhir dengan Mbappe menjaringkan dua gol dan Dembele turut menjaringkan gol untuk mengubah kedudukan pada perlawanan kedua.
PSG menduduki tempat teratas Ligue 1, menewaskan kelab La Liga Sepanyol, Girona dalam perlawanan pembukaan kumpulan, tetapi Enrique menegaskan Arsenal mencerminkan kualiti sebenar antara jagoan kelab bola sepak dunia tersebut.
“Saya tidak dapat menilai tahap pasukan PSG ketika ini, kami perlu menunggu sehingga akhir musim...
"Ini adalah saingan besar pertama kami di peringkat yang lebih tinggi. Kami tahu sejak minit pertama mereka akan menekandengan tinggi dan melakukannya secara agresif dan kami tidak dapat mengatasi tekanan itu.
"(Pengendali Arsenal) Mikel (Arteta) telah berada di sini selama lima tahun, saya pula di Paris baru setahun dua bulan. Saya mempunyai idea yang jelas untuk kami berada tahap kedudukan mana, tetapi saya tidak tahu berapa banyak masa yang diperlukan merealisasikannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!