AS, Israel beri amaran tindakan serangan balas peluru berpandu Iran
BAITULMAQDIS - Amerika Syarikat (AS) berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai tindak balas bersama Israel selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu Tel Aviv, sambil memberi amaran kepada Teheran mengenai 'akibat teruk'
Pada masa sama, Israel berikrar akan membuat Iran "membayar" serangan itu, yang menyaksikan kira-kira 180 peluru berpandu ditembak ke wilayahnya, kebanyakannya dipintas.
Sementara itu, Teheran mengancam untuk menyerang mana-mana tentera yang campur tangan di buminya bagi pihak Israel.
Presiden Joe Biden berkata, AS menyokong sepenuhnya Israel selepas serangan peluru berpandu itu, sambil menambah bahawa beliau akan membincangkan tindak balas dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Ketika ditanya oleh pemberita mengenai tindak balas terhadap Iran, Biden menjawab: 'Itu sedang dalam perbincangan aktif sekarang. Perkara itu masih perlu dilihat'.
Beberapa jam sebelum ini, siren kedengaran di seluruh Israel selepas Iran melepaskan peluru berpandu yang kebanyakannya dipintas oleh pertahanan udara Israel atau oleh tentera udara bersekutu.
Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka telah menyasarkan tiga pangkalan tentera di sekitar hab komersial Israel, Tel Aviv.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menyiarkan di platform media sosial X bahawa 'tindakan Teheran telah selesai melainkan rejim Israel memutuskan untuk mengundang tindakan balas selanjutnya'.
Sementara itu, Pengawal Revolusi sebelum ini berkata, serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Israel terhadap pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah minggu lalu serta kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam pengeboman Teheran yang dipersalahkan secara meluas ke atas Israel.
Tentera Israel mengumumkan selepas kira-kira sejam, serangan itu telah tamat. -AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!