Kereta dinaiki suami isteri warga emas terbabas masuk longkang
SUNGAI SIPUT - Sepasang suami isteri warga emas terselamat selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam longkang sedalam dua meter di tepi jalan Lim Garden, Sungai Buloh di sini pada Rabu.
Maklumat kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput pada jam 7.55 pagi melibatkan mangsa berusia lingkungan 70-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dikatakan hilang kawalan ketika melalui kawasan tersebut.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki tersangkut di bahagian tempat duduk pemandu, manakala seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang dapat dikeluarkan.
"Ketua Operasi kemudiannya mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa dengan menggunakan stretcher," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal sebelum diserah kepada pegawai perubatan untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 8.21 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!