55 maut, 156 cedera serangan Israel di Lubnan dalam tempoh 24 jam

Lima puluh lima orang terbunuh dan 156 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas. Gambar fail
Lima puluh lima orang terbunuh dan 156 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas. Gambar fail
A
A
A

BEIRUT - Lima puluh lima orang terbunuh dan 156 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Menurut Kementerian Kesihatan, 11 daripada kematian itu dilaporkan di daerah Baalbek-Hermel, 22 di Kawasan Pentadbiran Nabatieh, masing-masing tiga di Beirut dan Gunung Lubnan, dan 16 di Kawasan Pentadbiran Selatan.

Sejak 23 September, tentera Israel melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan.

Sejak 8 Oktober 2023, Hizbullah dan tentera Israel saling berbalas serangan di sempadan Lubnan-Israel di tengah-tengah kebimbangan konflik lebih meluas ketika konflik antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.

Lebih 200,000 hilang tempat tinggal akibat serangan Israel di Lubnan - PBB

NEW YORK - Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria, menurut jurucakap PBB pada Selasa, lapor Xinhua.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dijangka meningkat berikutan tentera Israel terus mengeluarkan arahan memaksa orang ramai berpindah.

Sebanyak 30 kampung di selatan Lubnan antara mereka yang terpaksa berpindah susulan arahan yang dikeluarkan antara Isnin dan Selasa, kata Stephane Dujarric, ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap itu pada taklimat harian berkata, lebih 60,000 orang kehilangan tempat tinggal di utara Israel.

Agensi Pelarian PBB terus meningkatkan tindak balas kecemasan dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan perlindungan segera dalam tindak balasnya bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di Lubnan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan-kongsinya menyokong tindak balas kerajaan Lubnan dengan menyediakan makanan, pemakanan untuk kanak-kanak, air dan bekalan penting lain seperti tilam dan kit kebersihan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyokong hampir 200 pusat perlindungan kolektif yang menempatkan 50,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan bekalan penting.

Setiausaha Agung PBB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk segera menyokong permohonan bantuan kemanusiaan kilat bernilai AS$426 juta yang dilancarkan di Beirut, Lubnan, awal hari itu.

"Rakan-rakan kemanusiaan kami berkata bahawa wang ini bertujuan untuk menyokong satu juta orang dengan bantuan kemanusiaan bagi tempoh tiga bulan akan datang,” kata Dujarric.

Penyelaras kemanusiaan di Lubnan, Imran Riza, telah memberi amaran bahawa tanpa sumber yang mencukupi, pekerja kemanusiaan berisiko meninggalkan penduduk di seluruh negara tanpa sokongan yang mereka perlukan, tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!