Mekanik didenda RM5,000 gagal patuhi award TTPM

Muhamad Zamzam Mohd Razali (tengah) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Muhamad Zamzam Mohd Razali (tengah) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
A
A
A

IPOH - Seorang mekanik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar tuntutan berjumlah RM6,750 kepada seorang pensyarah, dua tahun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, hukuman itu diputuskan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan pada Selasa terhadap Muhamad Zamzam Mohd Razali, 28, selaku orang kena saman (OKS).

Menurutnya, mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa KPDN Perak, Muhammad Ridzuan Abd Rahim berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah.

"Dalam kes ini, OKS didapati bersalah di bawah Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Selain hukuman denda sebanyak RM5,000, mahkamah turut menetapkan penjara lima bulan sekiranya OKS gagal membayar denda berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tuntutan terhadap Muhamad Zamzam difailkan berikutan kegagalan lelaki itu selaku mekanik menyiapkan pembaikan kenderaan pengadu sepertimana yang telah dijanjikan.

Katanya, satu award telah dikeluarkan TTPM Negeri Perak melalui Borang 8 yang mana Muhamad Zamzam telah diperintahkan membayar jumlah tuntutan sebanyak RM6,750 kepada pengadu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

"Lelaki terbabit bagaimanapun gagal mematuhi award yang telah diperintahkan.

Artikel Berkaitan:

"Pada 1 Disember 2022 dia telah dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, namun pada tarikh tersebut, lelaki berkenaan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!