Jejak Seni Budaya Malaysia Madani pelihara seni, warisan budaya

Musa (tengah) bergambar kenangan bersama pasukan seni dan budaya di Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2024 di Lanai@Matic, Kuala Lumpur.
Musa (tengah) bergambar kenangan bersama pasukan seni dan budaya di Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2024 di Lanai@Matic, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jejak Seni Budaya Malaysia Madani menjadi platform mengukuhkan perpaduan masyarakat, memelihara warisan kebudayaan serta membina kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya seni, budaya dan sukan tradisional dalam kehidupan seharian.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia, Nor Zaily Hasjadi berkata, kejayaan penganjuran Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani yang diadakan pada 27 hingga 29 September lalu di Lanai @ Matic Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada inisiatif persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menekankan keharmonian sosial dan identiti kebangsaan melalui seni, budaya, dan warisan.

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

“Pelbagai acara dijalankan antaranya aktiviti yang memupuk semangat kebersamaan dan menghargai kekayaan warisan Malaysia seperti Perhimpunan Perguruan Silat Bersama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Perhimpunan Persatuan Kompang Fatani, Perhimpunan Komuniti Rugbi, Jualan Agro Madani, makanan dan minuman tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian termasuk tarian tradisional, muzik rakyat dan persembahan nyanyian yang memaparkan kekayaan warisan budaya negara,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata, acara itu turut mensasarkan penglibatan aktif golongan belia sebagai pelapis seni dan budaya Malaysia, agar mereka dapat mewarisi dan terus melestarikan tradisi dan identiti kebudayaan negara.

“Budaya warisan adalah akar identiti sesebuah bangsa, mencerminkan sejarah, nilai-nilai, dan cara hidup masyarakat terdahulu.

“Ia menjadi penghubung antara generasi lama dan baru, membina rasa bangga dan cinta kepada negara. Warisan budaya juga penting untuk mengekalkan keunikan dan kepelbagaian bangsa Malaysia dalam dunia yang semakin global dan homogen,” ujarnya.

Tambah beliau, memelihara dan mempromosikan budaya dapat menyumbang kepada ekonomi melalui sektor pelancongan budaya serta memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

Nor Zaily berkata, untuk memastikan nilai-nilai budaya dihayati setiap lapisan umur, usaha bersepadu perlu dilakukan melalui pendidikan formal dan tidak formal.

Katanya, di sekolah, subjek seni budaya boleh diperkukuh dan aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan seni tradisional perlu dijalankan.

“Penglibatan komuniti juga penting, seperti melalui program seni yang melibatkan pelbagai generasi, festival budaya, dan bengkel-bengkel interaktif. Media sosial dan platform digital juga boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang budaya kepada generasi muda dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami.

“Selain itu, insentif kepada usahawan budaya yang mempromosikan warisan melalui produk atau perkhidmatan kreatif juga boleh membantu mempopularkan nilai-nilai budaya.

“Saya berharap acara ini dapat memperluaskan lagi kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap seni dan budaya warisan Malaysia, melibatkan lebih ramai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan generasi,” jelasnya.

Beliau berkata, Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani diharapkan mampu menjadi platform yang lebih besar untuk mempromosikan seni dan budaya tempatan dengan kerjasama komuniti seni, usahawan tempatan serta agensi kerajaan selain menarik lebih ramai penaja.

Selain itu, beliau berharap agar acara itu dapat dijalankan di lebih banyak lokasi di seluruh negara, menjadikan seni budaya Malaysia lebih mudah diakses dan dihayati semua ahli masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!