Orang ramai berpeluang rakam detik feri ikonik ditunda esok

Feri ikonik, Feri Pulau Pinang sedang diubah suai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang.
Feri ikonik, Feri Pulau Pinang sedang diubah suai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebuah feri ikonik Pulau Pinang yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang akan ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada jam 12.30 tengah hari, Khamis.

Sehubungan itu, orang yang berminat untuk mengambil gambar atau merakam video proses penundaan itu boleh ke Pusat Kawalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Perai untuk berbuat demikian.

Kurator Muzium Feri Pulau Pinang, Siti Faridah Hani Damsi berkata, feri ikonik itu memain peranan penting dalam sejarah perkhidmatan Feri Pulau Pinang.

"Orang ramai dijemput untuk menyaksikan detik bersejarah ini sebagai feri terakhir yang melintasi KTMB Swing Bridge berikutan penutupan Bagan Dalam Slipway.

Laluan perjalanan feri ikonik dari Bagan Dalam Slipway ke SPCT.
Laluan perjalanan feri ikonik dari Bagan Dalam Slipway ke SPCT.

"Feri ikonik ini akan menyelusuri Selat Pulau Pinang dan ia sangat menarik untuk dirakam sebagai kenangan," katanya dihubungi pada Rabu.

Menurut beliau, feri bernama Feri Pulau Pinang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam pada tahun 2021, sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium oleh Syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

"Kerja baik pulih berskala besar (major) telah siap dilakukan yang mana status kerja membaik pulih telah siap adalah antara 60 hingga 70 peratus.

"Selebihnya, kerja-kerja itu dan juga kerja pengubahsuaian akan dilakukan di SPCT sebelum feri tersebut dibawa ke Tanjung City Marina untuk diletakkan di situ," katanya.

Tambah Siti Faridah, di Tanjung City Marina juga barang-barang pameran akan dimasukkan ke feri tersebut sebelum ia dibuka kepada orang awam sebagai muzium feri terapung pertama di Asia.

Orang ramai yang berminat untuk mengambil gambar atau merakam video proses penundaan itu boleh ke Pusat Kawalan KTMB Perai untuk berbuat demikian.
Orang ramai yang berminat untuk mengambil gambar atau merakam video proses penundaan itu boleh ke Pusat Kawalan KTMB Perai untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, sebuah feri ikonik sedang ditransformasi untuk dijadikan sebuah muzium akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Mengimbas kembali mengenai feri-feri ikonik ini, pada tahun 2021, SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya produk pelancongan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan.

SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli atau menyewa feri-feri ikonik tersebut.

Bagaimanapun, kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang tidak sesuai menyebabkan

SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik yang tidak digunakan dengan kadar segera.

Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar telah dihentikan yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!