[VIDEO] 'Saya hanya penuhi jemputan sekolah' - Suhaizan dikritik rasmi penutup longkang

A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menegaskan gambarnya yang tular merasmikan besi penutup longkang sebuah sekolah rendah di sini tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik atau dipersendakan.

Suhaizan berkata, gambar berkenaan turut mendapat kritikan pembangkang yang disifatkan tidak memahami konteks sebenar program yang dihadirinya pada Ahad lalu.

Gambar Suhaizan yang tular dan dikritik pembangkang kerana merasmikan penutup longkang di sebuah sekolah di Parlimen Pulai.
Gambar Suhaizan yang tular dan dikritik pembangkang kerana merasmikan penutup longkang di sebuah sekolah di Parlimen Pulai.

Jelasnya, kehadiran di sekolah itu bagi memenuhi undangan sekolah kebangsaan di kawasan Pulai itu yang menjemputnya meninjau bantuan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang disalurkan menerusi peruntukan Pejabat Ahli Parlimen Pulai.

Katanya, sekolah kebangsaan itu memohon bantuan susulan longkang di premis berkenaan tidak mempunyai besi penutup menyebabkan banyak kes pelajar terjatuh ke dalam longkang sekali gus membahayakan keselamatan mereka.

“Perasmian ini adalah permintaan pihak sekolah yang ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan projek PMR (Projek Mesra Rakyat) untuk membina besi longkang sekolah.

“Selama ini banyak kemalangan berlaku di sekolah kerana ketiadaan longkang ini. Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan ini.

“Saya hadir bagi memenuhi permintaan sekolah sahaja. Tidak molek rasanya menghampakan harapan sekolah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard, mengkritik tindakan Suhaizan yang didakwa bersungguh merasmikan besi penutup longkang sebuah sekolah.

"Tahniah Suhaizan Kaiat, Ahli Parlimen Pulai dari Amanah, Pakatan Harapan (PH) yang bersungguh merasmikan besi penutup longkang.

"Aksi ini nampaknya mampu memintas aksi MP rasmi pintu lif, MP rasmi kepala paip dan lain lain," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!