Dunia punya peluang hentikan koronavirus
GENEVA - Langkah dramatik yang diambil China untuk mengekang koronavirus telah menghalang penyebaran ketara di luar negara sekali gus menghentikan penularannya.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus juga menggesa solidariti yang lebih besar dan mendakwa beberapa kerajaan negara yang kaya terlambat dalam berkongsi data tentang koronavirus.
"Sebanyak 99 peratus kes dilaporkan di China manakala di seluruh dunia sebanyak 176 kes dicatatkan.
"Tetapi itu tidak bermakna ia tidak akan menjadi lebih teruk. Kita pastinya mempunyai peluang untuk bertindak. Jangan lepaskan peluang itu," katanya.
Menurut Ghebreyesus, WHO telah menerima laporan kes lengkap untuk hanya 38 peratus kes di luar China.
"Sesetengah negara berpendapatan tinggi terlambat dalam berkongsi data penting ini dengan WHO. Ia tidak mungkin kerana mereka kekurangan kapasiti.
"Tanpa data yang lebih baik, sangat sukar bagi WHO untuk menilai bagaimana wabak itu berkembang atau kesannya dan memastikan kami menyediakan cadangan yang paling sesuai," ujarnya.
Pada masa sama, Ghebreyesus mengulangi gesaannya supaya negara lain tidak mengenakan sekatan perjalanan dan perdagangan disebabkan koronavirus.
"Sekatan seperti itu boleh meningkatkan stigma dan ketakutan selain kurang bermanfaat untuk kesihatan awam," katanya.
"Apa yang paling membimbangkan adalah skala kapasiti yang rendah di mana kita tahu terdapat beberapa negara yang berisiko tinggi tetapi berpotensi untuk tidak dapat mengesan kes tersebut," katanya.
Menurutnya, tumpuan utama adalah menyokong negara terbabit bagi memastikan mereka mendapat keupayaan untuk mengesan, mendiagnosis dan mengasingkan kes.
Sementara itu, Ketua Strategi Kecemasan WHO, Scott Pendergast turut menekankan perlunya sokongan besar kepada negara dengan sistem kesihatan yang lemah untuk mencegah penyebaran virus.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!