Fasa kedua rumah mangsa banjir puing di Iboi sedang dibina

Muhammad Sanusi meninjau tapak projek pembinaan fasa kedua rumah mangsa terjejas banjir aliran puing di Kampung Bok Bak, Baling.
Muhammad Sanusi meninjau tapak projek pembinaan fasa kedua rumah mangsa terjejas banjir aliran puing di Kampung Bok Bak, Baling.
A
A
A

BALING - Sebanyak 17 keluarga mangsa banjir aliran puing di Iboi yang dikategorikan berisiko dan tidak selamat diduduki susulan tragedi itu dua tahun lalu, kini boleh menarik nafas lega.

Ia berikutan kerja-kerja pembinaan rumah bagi penempatan semula fasa kedua mangsa terjejas telah memasuki 26 peratus dan dijangka siap Mac tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan struktur rumah membabitkan kos RM2.9 juta oleh kerajaan Persekutuan manakala pengambilan tanah membabitkan kos kerajaan negeri bernilai kira-kira RM600,000.

"Projek ini bermula Mac lalu dan setakat ini telah mencapai 26 peratus iaitu satu peratus lebih awal dari perancangan," katanya ketika meninjau tapak projek di Kampung Bok Bak di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi turut meninjau Jambatan Bailey di Iboi Baling.
Muhammad Sanusi turut meninjau Jambatan Bailey di Iboi Baling.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali, Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Ashah Ghazali, Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kupang, Datuk Najmi Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan, tragedi kepala air 4 Julai 2022 menyebabkan tiga beranak terkorban apabila 12 buah rumah rosak teruk atau musnah dihanyutkan arus deras, 17 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan manakala ribuan penduduk terjejas akibat banjir lumpur.

Kesemua 12 buah keluarga yang berada dalam zon merah itu bagaimanapun telah dipindahkan ke rumah baharu yang dibina kerajaan negeri di Kampung Keda Sadek, di mana penyerahan kunci dilaksanakan pada Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

Sementara pembinaan fasa kedua di Kampung Bok Bak seperti diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melakukan kunjungan ke Kampung Iboi selepas tragedi berkenaan, dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri membuat persiapan awal bagi berdepan bencana yang mungkin tercetus akibat perubahan iklim sewaktu peralihan monsun, termasuklah di Kampung Iboi.

"Bila berlaku peralihan monsun 24 September lalu, ia dijangka membawa hujan lebat yang mengakibatkan aliran kuat di Sungai Iboi...baru-baru ini air naik rapat (titi) jambatan.

"Usaha mengeluarkan batu-batu dan bahan-bahan yang menyekat aliran air sepanjang lima kilometer bermula dari Jambatan Bailey, Kampung Iboi...bila air mengalir lancar barulah tidak mengganggu struktur tebing dan jambatan," katanya.

Dalam kunjungan sama, beliau turut dimaklumkan oleh agensi berkaitan mengenai projek pembinaan empangan sabo dan jambatan kekal bagi menggantikan Jambatan Bailey di Iboi oleh kerajaan Persekutuan yang turut dimulakan tahun hadapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!