Dataran Bukit Bendera dijadikan tapak penjaja sementara
GEORGE TOWN - Dataran Bukit Bendera akan dijadikan tapak penjaja sementara bermula 13 Januari 2025 bagi membolehkan penjaja Astaka Bukit Bendera (Cliff Cafe) terus beroperasi semasa projek pembangunan semula astaka berkenaan.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, kerja-kerja mendirikan tapak penjaja sementara akan bermula dari 7 Oktober sehingga 31 Disember ini di Dataran Bukit Bendera dan kawasan berhampiran Stesen Bukit Bendera.
Menurutnya, projek pembangunan semula Astaka Bukit Bendera akan bermula pada pertengahan Febuari tahun hadapan.
"Sepanjang tempoh mendirikan tapak penjaja sementara, penjaja di Astaka Bukit Bendera akan beroperasi seperti biasa. Kesemua penjaja hanya akan berpindah ke tapak sementara pada awal Januari 2025.
"Semasa kerja-kerja mendirikan tapak penjaja sementara dijalankan, PBBPP meminta kerjasama orang ramai untuk mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda yang dipasang di tapak tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah PBBPP, Bukit Bendera sentiasa menerima jumlah pengunjung yang tinggi dan Astaka Bukit Bendera menjadi antara tempat tumpuan pengunjung untuk menikmati makanan dan minuman tempatan.
"Oleh itu, PBBPP akan membangunkan semula Astaka Bukit Bendera bagi menambah kapasiti ruang makan, meningkatkan kemudahan bertaraf antarabangsa dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Ia secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada pengunjung," jelas PBBPP.
Menurutnya, projek pembangunan semula itu dijangka siap pada suku ketiga 2026 dan akan memberikan pengalaman yang berharga buat pengunjung.
"PBBPP memohon kesabaran dan kefahaman semua orang semasa kerja-kerja mendirikan tapak penjaja sementara dan projek pembangunan semula Astaka Bukit Bendera dijalankan.
"Sebarang kesulitan amat dikesali. Kita akan membuat pengumuman rasmi dan kemas kini di platform media sosial dan laman sesawang PBBPP," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!