'Beruang matahari tunggu kami tengah jalan'
SHAH ALAM - Pengalaman bertemu dengan haiwan buas atau berbisa mungkin dianggap perkara biasa bagi penggemar aktiviti lasak, namun bagaimana cara untuk menangani situasi cemas tersebut mungkin tidak semua mampu lakukannya.
Perkara sama turut dilalui seorang penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri ketika beliau bersama sekumpulan 30 kenderaan yang menyertai Ekspedisi Kembara Offroad Rain Forest Trophy kawasan hutan dan pembalakan di daerah Jerantut, Pahang pada Selasa bertemu dengan beruang matahari.
Bagaimanapun katanya, berbekal dengan pengalaman dan turut disertai oleh jurupandu yang tahu mengenai selok-belok kawasan yang jauh daripada penempatan penduduk itu membuatkan situasi cemas menjadi lebih tenang ketika berdepan dengan haiwan buas yang berdiri di tengah laluan konvoi tersebut.
"Beruang matahari dewasa tunggu kami tengah jalan. Siap berdiri lagi. Ni dalam hutan Pahang Tengah dari Kuala Sat ke Kota Gelanggi. Konvoi memberhentikan kenderaan untuk beri laluan kepada beruang tersebut hingga ia lari.
"Trip (perjalanan) kami ada permit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan ada guide (jurupandu) untuk lindungi kami dan haiwan liar," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau dalam masa sama turut berkongsi gambar haiwan digeruni ramai yang ditemuinya itu di media sosial dan mendapat tontonan mencecah 3,000 orang.
Menurut Hezeri, lokasi haiwan buas yang ditemui itu berada jauh dari kawasan kampung dengan radius 50-100 kilometer.
Sinar Harian pada Selasa turut berkongsi pengalaman seorang pekerja ladang, Lester Rakilin, 37, berdepan detik menggerunkan apabila dia terserempak dengan ular tedung sepanjang lebih tujuh kaki.
Menurutnya, kejadian pada Sabtu itu berlaku ketika dia dan rakan-rakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Gua Musang sebelum tiba-tiba ada seekor ular tedung menghalang laluan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!