Tangani isu mukhannath sebaik-baiknya

A
A
A

ALLAH SWT adalah pencipta seluruh alam. Dia berkuasa menjadikan apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Jika kita banyak merenung kepada kejadian alam, kita akan rasai dan sanjungi kehebatan ciptaan ALLAH. Antara ciptaan-Nya yang unik adalah manusia. Manusia ini ALLAH jadikan pelbagai bangsa, pelbagai rupa, pelbagai saiz dan 1,001 pelbagai lagi yang tidak tertulis oleh mata pena manusia.

Antara yang ALLAH ciptakan adalah dijadikan manusia itu lelaki dan perempuan. Masing-masing ada ciri dan spesifikasi tertentu yang membezakan lelaki dan perempuan. Antara perbezaan paling ketara ialah alat kelamin. Namun, ALLAH Yang Maha Berkuasa juga menciptakan manusia yang mempunyai dua alat kelamin. Bagaimanakah kita ingin mengkategorikan mereka yang dicipta begitu?

Manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kelamin ialah manusia istimewa. Sangat istimewa sebenarnya. Kenapa saya kata begitu? Kerana pertama, mereka berbeza daripada lelaki dan wanita asal. Keduanya, para fuqaha’ membincangkan tentang mereka secara khusus baik dalam bab ibadah ataupun bab pusaka dan lain-lain yang melibatkan hukum untuk mereka.

Bila kita lihat para ulama terdahulu membincangkan hal mereka dan memberikan solusi mereka dalam isu hukum, ia menunjukkan mereka juga perlu diraikan dan bukannya untuk diketepikan dan diejek atau dihina.

Dalam menentukan jantina bagi mereka yang ada dua alat kelamin, para ulama menyatakan bahawa kena diperhatikan waktu dia kencing. Dari alat kelamin mana satu yang keluar air kencingnya. Jika dari alat kelamin wanita, maka dihukumkan baginya hukum-hukum berkaitan wanita dalam semua perkara. Begitulah juga, jika kencingnya daripada alat kelamin lelaki, maka dikenakan ke atasnya segala hukum-hakam golongan lelaki.

Malah, dengan kemajuan teknologi, banyak lagi aspek lain yang boleh dilakukan oleh doktor perubatan untuk menentukan jantina mereka yang dilahirkan dengan dua alat kelamin.

Dalam hal ini, ibu bapa yang berkenaan hendaklah mengambil sikap bertanggungjawab terhadap masa depan anaknya. Jika dilihat alat kelamin anaknya agak berbeza daripada anak-anaknya yang lain, rujuklah doktor secepat mungkin. Hal itu mungkin lebih mudah bila kanak-kanak dilahirkan di hospital kerana doktor biasanya akan membuat pemeriksaan terhadap jantina bayi yang dilahirkan.

Hari akhirat

Namun, pada peringkat bayi, mungkin masih tidak begitu jelas bahawa dia ada dua alat kelamin. Semakin dia membesar mungkin semakin jelas.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, ibu bapa tidak boleh menyembunyikan hal itu kerana manusia yang beragama Islam terikat dengan hukum-hakam di sepanjang hidupnya. Malah, jika diambil mudah, kesannya akan berterusan hingga hari akhirat.

Dalam perbincangan ulama, mereka yang mempunyai dua alat kelamin disebut sebagai khuntha. Seperti yang saya sebut di atas, penentuan jantina perlu dibuat mengikut kaedah tertentu.

Jika terdapat bukti nyata bagi penentuan jantina, maka hukum-hakam ke atasnya mengikut jantinanya.

Namun, jika selepas semua kaedah telah diguna termasuk menggunakan kemudahan teknologi moden, jantina masih tidak dapat dipastikan, maka inilah yang diistilahkan sebagai khuntha musykil. Bagi khuntha musykil, kebanyakan ulama menyatakan hukum ke atasnya adalah hukum seorang wanita.

Maksudnya, kehidupan sehariannya terikat dengan hukum-hakam berkaitan dengan wanita seperti dalam bab aurat dan ibadah kerana mengambil hukum berhati-hati (ihtiyat).

Khuntha jauh berbeza dengan tindakan sesetengah orang yang bertindak menukar jantina asal kepada yang lain. Perbuatan itu diharamkan dalam Islam kerana mengubah apa yang telah ALLAH jadikan untuknya.

Pada akhir zaman ini memang ramai lelaki yang mengambil hormon sehingga dia berjaya membentuk badannya seperti badan seorang perempuan. Ditambah dengan pembedahan plastik. Mereka ini bukanlah khuntha tetapi mukhannath iaitu pondan.

Mukhannath perlu ditangani sebaiknya oleh pihak berkuasa agama Islam agar tidak timbul haru-biru dalam masyarakat. Mendampingi mereka dengan penuh hikmah ialah satu kewajipan agar dapat dikembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!