Air Selangor taja 240 pelajar B40 akses pendidikan digital

Adam Saffian (tengah) menyampaikan tajaan akses aplikasi Pandai Premium kepada wakil sekolah pelajar terlibat.
Adam Saffian (tengah) menyampaikan tajaan akses aplikasi Pandai Premium kepada wakil sekolah pelajar terlibat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah payung inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Sesama Mara menaja seramai 240 pelajar daripada keluarga B40 dengan bantuan akses pendidikan digital bagi persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, program dengan kerjasama Pandai Education Sdn Bhd (Pandai) itu merupakan inisiatif tahun kedua dengan menyediakan bahan pendidikan digital yang interaktif, mampan dan lestari menerusi aplikasi Pandai Premium.

Adam Saffian
Adam Saffian

Menurutnya, aplikasi tersebut membolehkan pelajar-pelajar terlibat kekal cemerlang dan terus diberikan perhatian dalam menerima pembelajaran yang berkualiti.

"Kami komited dalam menyumbang kembali kepada komuniti sekitar yang melibatkan inisiatif di peringkat akar umbi dengan memberikan sokongan kepada anak-anak daripada keluarga B40 menerusi akses pembelajaran digital yang berkualiti.

"Apabila pelajar-pelajar ini diberikan peluang saksama kepada akses pembelajaran digital, kami berharap ia dapat membantu mereka membuat persiapan menghadapi SPM selain dapat meningkatkan prestasi akademik mereka secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan.

Antara penerima langganan aplikasi Pandai Premium bagi tahun ini terdiri daripada 72 pelajar anak-anak warga kerja Air Selangor, 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong, 40 pelajar SMK Padang Tembak, 13 pelajar Rumah Kebajikan Kasih Harmoni Paya Jaras, dan 55 pelajar daripada pengguna aplikasi asas Pandai yang terpilih.

Sehingga kini, Air Selangor telah menaja seramai 415 pelajar sebagai penerima langganan aplikasi tersebut termasuk 175 orang pelajar pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pandai Premium merupakan pelan langganan lengkap yang membolehkan pelajar memperoleh semua soalan latihan, ujian, nota, bantuan chat secara 1-on-1, tuisyen dalam talian bagi semua subjek dan contoh soalan peperiksaan untuk ulangkaji tanpa gangguan pada bila-bila masa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!