CEO MADACorp mohon maaf tidak sambut salam Mohamad Sabu
ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp), Abdullah Ismail tampil membuat permohonan maaf kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Rabu.
Perkara itu susulan tular sebuah video yang menunjukkan beliau didakwa enggan bersalaman dengan menteri berkenaan semasa menghadiri Program Sentuhan Madani di sini pada Isnin.
Jelas Abdullah, beliau sudah bersalaman dengan Mohamad sebaik menteri itu keluar dari kereta dan turut mengiringinya untuk bersalaman dengan pegawai lain.
“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau.
“Justeru saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang telah berlaku,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Abdullah, beliau berharap penjelasan dan permohonan maaf tersebut diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan yang tidak disengaja itu.
Pada Selasa, tular video yang menyaksikan Abdullah seolah-olah enggan bersalaman dengan Mohamad ketika menghadiri Program Sentuhan Madani di Kedah dan perbuatan tersebut mendapat kritikan daripada netizen.
Mohamad juga hadir untuk meninjau keadaan pesawah yang terjejas dengan banjir pada pertengahan September lalu di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional dan tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama, dan komunikasi yang beradab.
Menurutnya, jika terdapat perbezaan ideologi politik seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati antara satu sama lain, terutama dalam kalangan Melayu Islam.
“Orang Melayu kaya dengan adab dan tatasusila, oleh itu adalah penting untuk kita menggunakan nilai-nilai ini demi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu,’’ kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!