SKSPS mandatori untuk penjaja, peniaga berlesen mulai 1 Januari 2025 - PERKESO

SKSPS mandatori untuk penjaja, peniaga berlesen mulai 1 Januari 2025. Foto Bernama
SKSPS mandatori untuk penjaja, peniaga berlesen mulai 1 Januari 2025. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dalam kalangan penjaja dan peniaga berlesen diwajibkan mulai 1 Januari 2025 bertujuan menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod semasa bagi 2024 setakat 31 Ogos lalu, seramai 53,901 individu mencarum SKSPS untuk sektor penjaja dengan 189 kes tuntutan diterima dan diproses melibatkan pembayaran faedah keseluruhan mencecah RM681,174.

Menurut kenyataan tersebut, SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 mampu menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan kehidupan dalam jangka masa panjang.

“Semua penjaja dan peniaga termasuk kios yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dikehendaki mencarum SKSPS dengan tempoh peralihan diperuntukkan selama empat bulan.

“Langkah mandatori ini dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos tahun ini melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa 1 September lalu.

“Individu yang mempunyai sebarang lesen menjaja dan berniaga sama ada tepi jalan mahupun pasar, dikeluarkan pihak berkuasa bawah Akta kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No. 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab. 20) wajib bayar SKSPS,“ katanya pada Rabu.

Sektor penjaja merupakan kumpulan ketiga dijadikan mandatori untuk caruman SKSPS selepas perkhidmatan pengangkutan penumpang pada 2017 serta perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022.

PERKESO turut memaklumkan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan unit kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara sepanjang tempoh peralihan bagi meningkatkan kesedaran peniaga serta penjaja memandangkan golongan terbabit adalah sebahagian daripada pemacu ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Penjaja atau peniaga yang ingin mendaftar dan membayar caruman SKSPS boleh berbuat demikian menerusi beberapa saluran.

“Antaranya melalui aplikasi ‘Prihatin’ di telefon pintar, konsultasi di 54 cawangan PERKESO seluruh negara, portal MATRIX atau berjumpa ejen yang sah,“ ujar kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!