Perang Asia Barat: Semua pihak digesa hulur bantuan, elak pertumbuhan ekonomi perlahan
SHAH ALAM - Perang Asia Barat berupaya mengakibatkan kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan dan peningkatan inflasi susulan perdagangan global yang saling berkait.
Sehubungan itu, Mercy Malaysia dalam satu kenyataan menggesa agar semua pihak menghulurkan bantuan dengan memberi perhatian dan sokongan kepada usaha kemanusiaan di Lubnan serta tidak melupakan krisis di Gaza.
Menurut kenyataan itu, keadaan tegang berkenaan menambahkan konflik ke atas krisis kewangan Lubnan yang sememangnya sedang terumbang-ambing akibat perselisihan politik dan bencana.
“Lubnan diklasifikasikan sebagai tempat tidak selamat untuk didiami berdasarkan tahap keselamatan makanan dan kesihatan yang berada pada tahap terburuk.
“Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing menyebabkan 1.26 juta penduduknya menghadapi situasi kebuluran.
“Separuh daripada keluarga warga Lubnan serta hampir keseluruhan komuniti pelarian sedang bergelut untuk mendapatkan makanan asas dan perkhidmatan kesihatan,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini, Israel secara rasmi telah memulakan operasi darat di selatan Lubnan, awal pagi Selasa dan memaklumkan serangan dilakukan itu adalah terhad, setempat dan disasarkan terhadap kumpulan Hizbullah.
Ekoran itu, Kementerian Kesihatan Lubnan memberitahu dalam tempoh 24 jam, sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dan 172 mangsa lain mengalami kecederaan.
Mengulas lanjut, Mercy Malaysia berkata, pihaknya telah lama menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di Lubnan sejak 2006.
“Bagi membantu penduduk Lubnan pada ketika ini, satu pasukan telah digerakkan ke sana bagi menyalurkan bantuan segera.
“Pasukan ini dibantu oleh pasukan sedia ada di Syria dengan kerjasama organisasi tempatan bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilakukan berdasarkan keperluan dengan cara yang selamat,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pasukan susulan sedang dipersiapkan dan akan digerakkan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan kritikal.
Antara bantuan yang akan disalurkan adalah seperti bekalan makanan, air bersih, perkhidmatan kesihatan, perubatan kecemasan dan tempat berlindung kepada kanak-kanak serta persiapan perlindungan musim sejuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!