Sabari sering baca al-Quran di masjid, suka bersedekah - Imam
BALING - Insiden menimpa bekas pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dibunuh dan dicampakkan ke dalam sungai meninggalkan kesan kepada penduduk kampung.
Imam Masjid al-Mutmainnah Kampung Mengkuang, Saidin Husain, 65, berkata, jemaah masjid turut merasai kehilangannya memandangkan Sabari sering berjemaah dan menghabiskan masa membaca al-Quran di masjid ini.
"Dia ada dusun buah, setiap kali musim buah, dia akan kongsi dengan jemaah.
"Ada waktu tertentu dia akan buat kenduri di masjid dan di rumahnya. Bila dia hilang seluruh jemaah turut bersedih," katanya.
Beliau berkata, selepas kehilangan Sabari, pihak masjid sudah beberapa kali mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sebelum dimaklumkan pesara itu dicampak ke sungai.
"Sekiranya jasadnya ditemui kami bersedia membantu untuk menguruskan jenazahnya.
"Semoga usaha pencarian jasad arwah dipermudahkan ALLAH," katanya.
Sementara itu, jirannya, Mohd Sukeri Karim, 61, berkata, Sabari yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu sangat dikenali memandangkan kedudukan rumah mereka tidak jauh antara satu sama lain.
"Sabari seorang yang baik serta suka bersedekah.
"Semoga kematian arwah terbela dan suspek mendapat balasan yang setimpal... tergamak buat macam," katanya.
Menurutnya, kejadian menimpa Sabari turut menimbulkan kerisauan selain sentiasa meningkatkan keselamatan diri dan keluarga terutama apabila individu tidak dikenali memasuki kawasan kampung tersebut.
"Kami akan catat nombor plt kenderaan yang lalu di sini terutama pada waktu malam. Jika terdengar bunyi apa pun kami akan terjaga dan tengok di luar.
"Rumah kami paling hujung dan jalan mati (tidak jauh dari rumah mangsa) belakang ini cuma kebun getah.
"Kami bimbang keselamatan kami juga terancam sehingga anak-anak bercadang hendak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling rumah sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan operasi pencarian mangsa yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jambatan Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra diteruskan pada hari ketiga pagi Rabu.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja.Kehilangan warga emas itu menjadi misteri apabila anaknya menyedari terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari kepada akaun individu tidak dikenali.
Beberapa hari selepas kehilangan bapa kepada tiga anak itu, sebuah kereta dipercayai milik mangsa ditemui hangus dalam gaung di Pulau Belantek, Sik, Kedah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, pengakuan suspek memaklumkan bahawa tangan mangsa telah diikat, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat sebelum mangsa dicampak ke sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!