Pembayar zakat PPZ-MAIWP layak dapat diskaun Hospital Pakar Pusrawi

Syed Zainal (duduk kiri) dan Amrin (duduk kanan) menandatangani MoU pada Majlis Pelancaran Kad Setia di Dewan Serbaguna Aras 9, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.
Syed Zainal (duduk kiri) dan Amrin (duduk kanan) menandatangani MoU pada Majlis Pelancaran Kad Setia di Dewan Serbaguna Aras 9, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 8,857 pembayar zakat melebihi RM10,000 setahun di Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) layak mendapatkan potongan harga sehingga 10 peratus di Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.

Pengerusi Pusrawi Heritage Sdn Bhd, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pesakit yang menerima rawatan dalam hospital itu layak menerima potongan harga sebanyak 10 peratus bagi bilik dan lima peratus masing-masing bagi caj perubatan dan makmal.

Menurut beliau, pesakit luar pula menerima potongan harga sebanyak lima peratus bagi ubat-ubatan.

"Kad Setia ini akan diberikan secara percuma kepada pembayar zakat layak dan tempoh sah laku kad ini selama dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kad Setia dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur bersama PPZ-MAIWP di Dewan Serbaguna Aras 9, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.

Syed Zainal berkata, kolaboratif antara pihaknya bersama PPZ-MAIWP itu dilakukan bagi memberi galakan kepada umat Islam untuk menunaikan zakat.

Beliau memberitahu, sasaran penerima Kad Setia itu terdiri dalam kalangan pelanggan hospital itu antaranya golongan pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi, warga emas dan korporat.

Jelas beliau, kerjasama itu juga sebahagian usaha mempromosikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, inisiatif ini juga dibuat bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada pelanggan pada harga berpatutan.

"Pusrawi juga merancang lebih banyak koloboratif bermanfaat pada masa akan datang," jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pihaknya berbesar hati dengan komitmen hospital itu dari bermulanya inisiatif awal sejak beberapa tahun sehinggalah membawa kepada pelaksanaannya.

Beliau berkata, Kad Setia bermanfaat lebih-lebih lagi di zaman peningkatan inflasi perubatan yang menyebabkan kos rawatan meningkat setiap tahun.

"Ini merupakan satu nilai tambah terkini buat pembayar kami untuk menikmati kelebihan di tawarkan selain daripada manfaat Skim Wakalah dan Skim Kafala Muzakki," kata beliau.

Tambah beliau, hospital itu telah merencanakan usaha dalam memartabatkan dan memperkukuhkan dakwah zakat dalam kalangan pelanggan serta memantapkan lagi ekonomi umat Islam di negara ini.

"Kerjasama strategik itu bukan sekadar antara dua organisasi, malah ia sebagai tanda sokongan antara satu sama lain dalam kalangan anak syarikat MAIWP," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!