Yusoff Rawther mohon perintah isytihar 'larangan ikat jamin’ tak berperlembagaan

Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada tiga minggu lalu, berhubung kes dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Muhammed Yusoff Rawther (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada tiga minggu lalu, berhubung kes dadah dalam kenderaan dinaikinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Muhammed Yusoff Rawther yang tidak boleh diikat jamin mengikut Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara menunggu perbicaraan kes mengedar dadah jenis kanabis, memohon suatu perintah bahawa seksyen itu sebagai tidak berperlembagaan.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, seksyen itu telah mengehadkan kuasa mahkamah yang sedia ada, dalam mempertimbang atau memberi jaminan.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, beliau berkata, perkara itu telah menimbulkan ketidakadilan, terutamanya apabila seseorang tertuduh, mempunyai pembelaan bermerit atau keadaan khas yang memerlukan jaminan.

“Susulan itu, anak guam telah memfailkan saman pemula untuk mengemukakan keadaan khas yang dialami Yusoff Rawther hingga dia memerlukan jaminan itu dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi permohonan berkenaan tersebut.

Pada 12 September lalu, Yusoff Rawther mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah berkenaan, dalam kenderaan dinaikinya, pada hampir tiga minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi pada 6 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November depan untuk laporan kimia berhubung kes terbabit.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Yusoff Rawther berhubung penemuan dua pistol tiruan dan ganja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!