JAS tidak lambat lulus laporan EIA, patuh piagam pelanggan - KP

Wan Abdul Latiff menyampaikan taklimat semasa Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Wan Abdul Latiff menyampaikan taklimat semasa Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mematuhi tempoh yang ditetapkan dalam meluluskan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) iaitu mengikut piagam pelanggan dan sistem pengurusan kualiti (ISO) jabatan itu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, JAS juga sering dilabelkan sebagai penghalang pembangunan kerana keperluan laporan EIA bagi projek pembangunan baharu selain didakwa mengambil masa lama untuk meluluskan laporan tersebut.

"Dikatakan kita (JAS) mengambil masa yang terlalu lama untuk memproses laporan EIA. Kita sudah buat perbandingan dengan negara lain termasuk negara maju, contohnya di Amerika Syarikat mengambil masa 120 hari. Kita masih mengambil masa yang singkat untuk meluluskan laporan EIA," katanya dalam sesi interaktif bersama media, di sini hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata keputusan ke atas Laporan EIA Jadual 1 dikeluarkan dalam tempoh 25 hari manakala keputusan ke atas Laporan EIA Jadual 2 dalam 60 hari.

Beliau berkata kelulusan laporan itu bergantung kepada kepantasan perunding EIA menyiapkan kajian yang mengambil masa enam bulan hingga setahun memandangkan ia bersifat teknikal dan saintifik.

"Kita (JAS) ada ISO dan piagam pelanggan, semakan (dijalankan) rupanya perunding EIA sebut kepada pemaju bahawa JAS ambil masa yang lama (lulus laporan) sedangkan kajian mereka (perunding) yang tak siap-siap," katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 600 perunding EIA berdaftar dengan JAS, malah sudah ada perunding yang disenaraihitamkan kerana didapati menipu kajian EIA.

Selain itu, Wan Abdul Latiff berkata terdapat keperluan tambahan 3,000 anggota penguat kuasa berbanding 1,122 penguat kuasa sedia ada untuk meningkatkan pemantauan dan perkara itu telah dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penilaian EIA JAS, Rohimah Ayub berkata, pihaknya juga pernah menerima laporan kajian EIA yang tidak mengikut format dan tiada perakuan daripada perunding berdaftar.

"Kadang-kadang tiada perakuan daripada perunding berdaftar. Apabila disemak perunding itu tidak terlibat pun dalam kajian itu sebaliknya nama mereka digunakan. Apabila laporan itu diterima, kita tak nilai laporan itu dan terpaksa hantar semula," katanya.

EIA merupakan satu kajian mengenal pasti, meramal, menilai dan mendapatkan maklumat daripada pihak terlibat bagi mencegah masalah alam sekitar akibat aktiviti pembangunan serta mengelakkan kesilapan yang merugikan dalam pelaksanaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!